Content feed Comments Feed

Apa itu Virus

Posted by kerex Monday, March 9, 2009

Virus bukan hanya melemahkan operasi komputer tetapi juga mengkucar-kacirkan seluruh dunia sehingga mencapai tahap mengancam keselamatan. KADANGKALA kita terlalu ghairah dengan kecanggihan dunia teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) sehingga lupa soal remeh-temeh terutama membabitkan isu keselamatan. Ancaman utama dunia tanpa sempadan ini ialah virus kerana ia dikatakan mampu melumpuhkan operasi harian yang banyak bergantung kepada ICT.

Virus komputer ialah sejenis program komputer yang ditulis untuk mengubah cara komputer beroperasi tanpa kebenaran dan tanpa disedari oleh pemiliknya kerana ia bijak berselindung di sebalik fail program lain.

Menerusi terma yang biasa digunakan untuk merujuk kepada program jahat itu, sejenis virus akan bertindak melakukan dua perkara iaitu menggandakan atau menyalin dirinya sendiri dan melancarkannya.

Virus komputer itu akan merebak dari satu komputer kepada komputer lain yang menggunakan kaedah sama seperti virus dalam bidang perubatan atau biologi yang menjangkiti manusia ke manusia lain.

Pada Januari 2004 lalu, pakar virus menganggarkan virus Mydoom yang lebih dikenali sebagai cecacing dan virus ILOVEYOU yang menyerang pada 2000 menjangkiti kira-kira 250,000 komputer dalam tempoh sehari.

Pelbagai cara virus menjangkiti komputer. Ada yang melalui cakera liut atau cakera padat (CD), pemacu flash dan yang lain ketika proses pemindahan data serta hubungan antara komputer dalam rangkaian yang sama.

Sementara dalam dunia internet, virus boleh merebak apabila kita membuat pindah turun sebarang fail atau memasang aplikasi perisian yang tidak diketahui asal-usulnya dengan tepat.

Kaedah paling popular penyebaran virus ialah menerusi mel elektronik. E-mel tidak diundang biasanya akan masuk ke kekotak e-mel kita dan diserta dengan fail sisipan. Virus dimasukkan ke fail sisipan dan dilancarkan sebaik penerima membukanya.

Sebaik dilancarkan, tanpa disedari virus terbabit menyalin dirinya sendiri menjadi seberapa banyak yang boleh dan mencuri alamat e-mel yang ada dalam simpanan komputer terbabit, lalu bertindak menghantar dirinya ke alamat e-mel yang dicuri itu.

Begitulah keadaannya ia merebak. Oleh itu berhati-hati dengan e-mel dari pengirim yang tidak dikenali.

Ada juga e-mel yang menyamar sebagai rakan atau yang mempromosikan sesuatu seperti menjanjikan sesuatu yang lumayan untuk pengguna. E-mel ini amat berbahaya, jangan mudah terpedaya kepada promosi.

Terdapat beribu-ribu jenis virus dalam dunia perkomputeran hari ini. Menurut kajian, kira-kira 200 jenis virus dikesan setiap hari, hinggakan ia sukar dikesan berapa banyak sebenarnya virus sudah bertapak dalam komputer hari ini.

Virus yang menyerang manusia atau binatang boleh mengakibatkan kematian, begitu juga dengan virus komputer ini yang dibangunkan sedemikian rupa hingga menyebabkan kegagalan berfungsi secara menyeluruh sesebuah sistem komputer itu.

Ada juga hanya pada tahap melemahkan operasi komputer dan ada juga yang hanya hendak mengkucar-kacirkan keadaan. Semakin canggih sistem perkomputeran yang dibangunkan, semakin canggih juga virus itu dicipta.

Pelbagai andaian dibuat oleh pakar mengenai pembangunan virus komputer itu kerana ia seolah-olah bertindak sebagai pengacau yang tidak diundang dan membabitkan orang yang tiada kaitan dengan pembangunnya.

Ada pihak mengandaikan virus dicipta hanya sekadar suka-suka kerana memikirkan dirinya seorang yang terlalu bijak dalam bidang perkomputeran dan melepaskan virus untuk mengkucar-kacirkan keadaan untuk merasa puas.

Dalam pada itu, ada juga yang mengatakan ia disebabkan oleh rasa dengki khianat dengan kejayaan orang lain, lalu melepaskan virus untuk merosakkan data serta memusnahkan peralatan perkomputeran terbabit.

Kerosakan akibat serangan virus itu ada yang bersifat kekal dan ada juga hanya sementara. Malah, ada juga virus yang menjangkiti sesebuah komputer, tapi ia bertindak seperti bom masa yang mana akan aktif pada waktu serta tarikh yang ditetapkan pembangunnya.

Lebih parah dari itu, ada virus yang bertindak sebagai pengintip, yang mana ia merakam setiap tindakan pengguna dan menyampaikannya kepada pembangunnya.

Biasanya ia bertujuan untuk mencuri maklumat, terutamanya dokumen sulit atau maklumat yang berkaitan dengan kewangan. Misalnya, ia merakam ketukan papan kekunci anda ketika pengguna sedang memasukkan nama log masuk dan kata laluan. Malah, ia mampu bertindak lebih jahat dengan merakam nombor pengenalan peribadi (PIN) atau nombor akaun .

Perisian antivirus diperlukan untuk memperbaiki dan memulihkan keadaan. Bagaimanapun, kemungkinan kehilangan data adalah besar, manakala perisian yang dijangkiti perlu dipasang semula.

Proses pemulihan pula memakan masa, sedangkan faktor kelambatan dan kegagalan berfungsi walau dalam tempoh sesaat pun akan mengakibatkan kerugian besar.




Klasifikasi virus

VIRUS boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis yang dikenal pasti iaitu virus sektor boot, virus fail, virus makro, virus multiparti, virus rangkaian dan virus e-mel.

Virus sektor boot akan menjangkiti sektor boot dalam cakera keras, iaitu bahagian paling penting. Ia akan menggagalkan proses menghidupkan komputer dan akhirnya tidak boleh digunakan. Virus ini yang sudah dikenali ialah Polyboot dan AntiEXE.

Virus fail juga dikenali parasit iaitu kod terlekat pada fail pelancar atau EXE, fail pemacu dan fail yang sudah dipadatkan. Ia aktif setiap kali fail itu dilancarkan dan akan menyalin dirinya untuk memasuki ke lain-lain fail EXE yang ada dalam komputer sama. Contohnya Randex, Meve dan MrKlunky.

Virus makro biasanya akan menempel dalam fail pekerjaan atau dokumen yang dibuat menggunakan perisian pemprosesan perkataan atau seumpamanya. Ia sekadar menempel dan merebak apabila pengguna membuat pindahan data menerusi e-mel atau cakera liut, pemacu USB atau CD. Contoh virus ini ialah Relax, Melissa.A dan Bablas.

Virus multiparti adalah gabungan antara virus sektor boot dengan virus fail. Ia hadir menerusi media yang dijangkiti dan tinggal dalam memori. Kemudian ia akan bergerak ke sektor boot dan cakera keras. Selepas itu, ia akan mencari fail EXE dan merebak secara meluas ke keseluruhan sistem. Antara virus ini yang dikenali ialah Ywinz.

Virus rangkaian bertindak cepat merentasi sistem rangkaian setempat (LAN) atau menerusi internet. Ia aktif menerusi perkongsian fail. Apabila ia sudah menjangkiti sistem, ia akan mencari sasaran berpotensi dalam rangkaian yang sama atau mungkin keluar ke rangkaian lain menerusi sistem rangkaian luas (WAN). Contohnya ialah Nimda dan SQLSlammer.

Virus e-mel boleh dalam bentuk makro yang merebak ke semua alamat e-mel komputer. Apabila pengguna menghantar e-mel, komputer penerima pula akan dijangkiti dan ada juga yang menghantar dirinya sendiri menggunakan alamat-alamat tadi.

Menghalang jangkitan

BEBERAPA penyelesaian dicadangkan bagi membantu menghalang sebarang jangkitan virus ke komputer.

Pengguna perlu memeriksa semua perisian baru atau apa saja yang hendak dipindah turun ke komputer. Jika terdapat virus, laporkan kepada pihak tertentu atau jabatan sokongan ICT di pejabat atau Pusat Tindak Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser). Perisian antivirus adalah jawapan sebenar kepada semua pemasalahan virus itu. Ia akan mengimbas setiap fail masuk atau keluar dan bertindak serta merta.

Malangnya, masih ramai pengguna terutama pengguna di rumah yang tidak mengambil pusing mengenai perisian anti virus ini, sedangkan ia amat penting bagi memastikan komputer terus elok dan data terus selamat.

Berbelanjalah sedikit wang untuk membeli perisian antivirus demi memastikan tidak mengalami kerugian yang banyak.

0 comments

Post a Comment

About Us

My Photo
kerex
http://www.myxpitstop.com
View my complete profile